Manisnya nikmat sebuah ujian
- kaivelvet
- Mar 8, 2020
- 2 min read
8 March 2020-Sunday-4:03PM

Tahukah engkau sebenarnya apa yang dihadapi olehmu sekarang adalah ujian? Allah menguji setiap hamba-Nya untuk meningkatkan darjat mereka disisi-Nya. Sebenarnya ujian yang dianggap pahit itulah penawar. Andai diri tidak berhenti-henti dihujani ujian, itu tandanya Allah sedang memberi perhatian.
Lantas mengapa begitu perit dirasakan? Sahabatku, engkau pernah lihat orang yang sedang sakit, lalu si doktor cuba merawatnya. Pasti sakit bukan? Puas pesakit itu mengherdik doktor itu, kononnya doktor itu menyakitinya. Sedangkan doktor itu sedang merawatnya. Begitulah juga kita manusia, apabila ditimpa bala musibah, kita menjadi marah, terus hilang punca dan arah. Malah, kepada takdir kita persalahkan. Sahabatku, tanyakan semula dirimu, siapa sebenarnya engkau sedang menyalahkan? Takdir atau penetap takdir itu? Renungkan, pada saat engkau terperangkap di dalam hujan dan lewat ke tempat kerja, engkau persalahkan kebodohan hujan kerana turun pada pagi hari. Meski hatimu tiada niat memarahkan Tuhan, namun fikir semula, siapa sebenarnya yang engkau tujukan kemarahan? Kepada hujan atau kepada Tuhan?
Ya, kerana itulah kita perlu yakin setiap apa yang ditetapkan oleh-Nya, pasti ada hikmah yang kita sendiri belum mengetahuinya. Allah tidak kirimkan ujian melainkan sebagai proses untuk mengangkat darjat seseorang itu di sisi-Nya. Berbicara tentang dirimu yang berasa terasing, terasing jauh daripada norma kehidupan "terkini" dan engkau bersama teman-temanmu yang hanya segelintir kecil, merasakan keperitan keberasingan ini. Maka ingatlah, ini jua adalah ujian. Semakin besar ujian diberikan, semakin besar kasih tuhan kepada kalian.
Daripada Anas berkata, Rasulullah bersabda, "Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum, diuji mereka; kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan redha, maka dia akan beroleh keredhaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah." (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)
Redhalah akan ujian Tuhan. Usah buang masa dengan bersedih dan menangis. Sebaiknya mantapkanlah dadamu dengan ilmu dan perbanyakkan bertasbih. Lalu, engkau tidurlah dengan nyenyak umpama ashabul kahfi, usah pedulikan keinginan melampau duniawi. Renungkan sebuah kata-kata Saiyidina Ali RA;
"Wahai anak Adam! Jangan terlalu gembira dengan kekayaan, jangan terlalu berputus asa dengan kefakiran, janganlah berduka dengan bencana, janganlah bersenang dengan kelapangan, kerana emas itu diuji dengan bala, sesungguhnya engkau takkan mendapatkan apa yang engkau inginkan kecuali dengan meninggalkan semua yang engkau inginkan. Engkau takkan mencapai cita-citamu kecuali dengan bersabar menanggung apa yang tidak engkau sukai. Kerahkan segenap kemampuanmu untuk memelihara yang difardhukan."
Sahabatku, usah kau bersedih dengan bencana. Emas yang dipandang tinggi dan amat berharga itu datang daripada lombong yang berlumpur, ia direndam ke dalam api yang marak menjulang. Akhirnya barulah ia direbut orang. Andai emas itu ujiannya api, ujian untukmu adalah bencana. Hadapilah dengan tenang, inshaAllah kelak engkau akan menang. Ingat pesanan Ali, "Engkau tidak akan mencapai cita-citamu kecuali dengan bersabar menanggung apa yang tidak engkau sukai." La Tahzan...
-IbnuRijal
Comments